The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

REVIU PERLAWANAN: Gergasi Merah tawan Kota Kinabalu

Sep 05, 2020 - FAS

Misi Selangor untuk membawa pulang 3 mata penuh terhasil untuk saingan CIMB Liga Super 2020 selepas skuad Merah Kuning berjaya menewaskan Sabah 2-1 di Stadium Likas, malam tadi.

Selangor mendominasi penguasaan bola pada awal permainan namun Sabah berjaya mengimbangi permainan menjadikan kedudukan terikat 0-0 untuk aksi separuh masa pertama.

Skuad bimbingan B. Sathianathan itu terus garang mengasak kubu tuan rumah namun nasib tidak menyebelahi mereka apabila dua percubaan dari Ifedayo dan Halim Saari cuma singgah di palang gol pasukan Sabah.

Usaha Sabah yang sekali-sekala melancarkan serangan balas terhasil pada minit ke-65 selepas percubaan pemain import mereka, Rodoljub Paunovic berjaya melepasi jangkauan penjaga gol Selangor, Mohd Khairulazhan Mohd Khalid.

Kegembiraan Sabah tidak kekal lama apabila hantaran lintang dari K. Prabakaran pada minit ke-72 gagal ditepis kemas oleh penjaga gol Sabah, Wan Azraie sebelum Ifedayo Olusegun pantas menyambar bola untuk mengikat kedudukan 1-1.

Syazwan Zainon yang dimasukkan pada awal separuh masa kedua cemerlang membuat hantaran lintang dari sebelah kanan untuk membuka ruang buat Ifedayo  Olusegun memperdayakan penjaga gol Sabah untuk jaringan kedua beliau pada minit ke-81.

Kedudukan 2-1 kekal sehingga wisel penamat sekaligus memberikan kemenangan kedua Selangor buat musim ini dan menghapuskan rekod tanpa kalah skuad Badak Sumbu di Stadium Likas.

Bercakap kepada pemberita setelah tamat perlawanan, pengendali pasukan, B. Satiananthan memuji semangat juang yang ditunjukkan oleh anak buahnya, setelah tidak berputus asa biarpun ketinggalan satu gol berbanding pasukan tuan rumah.

“Saya yakin dan percaya dengan pemain-pemain saya. Hari tu ketika menentang PJ City, mereka tak pernah menyerah kalah. Semangat tu harus kita puji kerana sewaktu latihan pun mereka berbuat demikian, mereka nak menang hari ni, mereka nak menang untuk perlawanan seterusnya, untuk bawa Selangor ke kedudukan yang lebih tinggi,” komen Satiananthan.

“Kita kurang bernasib baik dengan PJ City, dan sekarang saya nampak semangat pemain-pemain sangat berbeza, setelah bolos satu gol, biasanya pasukan-pasukan lain akan lemah semangat tapi bukan Selangor,” sambung beliau.

Kemenangan ini memberikan 3 mata berharga buat skuad Red Giants yang kini memanjat tangga ke-4 liga, dengan mengutip 9 mata dari 6 perlawanan, 1 mata di belakang Terengganu FC di tangga kedua dan 7 mata di belakang pendahulu liga, JDT.